KOMSAS TINGKATAN 4: SANG GEMBALA KUDA

p/s Hi semua! Fyi i have future my study to college so i can't really help untuk isu isu baru relate to spm, but for sure i am the first batch dalam pembaharuan pendidikan negara kita. Do email me untuk request note nathirah1999@gmail.com. Terima kasih semua!

MAKSUD RANGKAP

Rangkap 1: Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang gagah. Berbekalkan keberanian yang dimilikinya, dia dengan angkuh merembat kuda dengan menggunakan cemeti untuk menakutkan kuda-kuda itu sambil menghalau kuda-kuda yang sedang berada di padang bersegera balik ke kandang.

Rangkap 2: Sementara itu, rumput dan jerami merupakan makanan yang lazim terhidang dan akan dimakan oleh kuda-kuda ketika lapar. Setelah kenyang, kuda-kuda itu tidak pedulikan nasib mereka dijadikan kuda tunggangan untuk menjejaki kuda-kuda yang lain.

Rangkap 3: Dengan kuasa yang ada padanya dan apabila sesekali bersuara nyaring, sang gembala kuda begitu berani dan yakin menunggang kuda-kuda itu menempuh segala rintangan dan kepayahan. Dia bijak menggunakan tipu helahnya dengan berpura-pura sebagai penyelamat maruah yang kononnya berjuang atas dasar kebenaran dan menentang segala penipuan.

Rangkap 4: Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang hanya ingin mengetahui kepantasan larian kudanya tanpa mempedulikan kepenatan kuda itu. Sang gembala kuda juga hanya tahu mengejar kejayaan tanpa mengambil kira kesengsaraan kuda itu.

 TEMA

• Sajak ini bertemakan kekuasaan penjaga kuda dan penganiayaan tenaga haiwan yang dilakukannya terhadap kuda-kuda tunggangannya.

• Berbekalkan kuasa yang dimiliki dengan angkuh dan berani, penjaga kuda berjaya menakutkan serta mengawal kuda-kudanya kembali ke kandang. Penjaga kuda hanya mementingkan diri dan sanggup menggunakan sepenuh tenaga kuda-kudanya tanpa mempedulikan nasib haiwan tunggangannya itu.

PERSOALAN

Kekuasaan mempengaruhi gaya kepemimpinan.

Ketegasan dalam memimpin.

Penganiayaan terhadap haiwan.

Kepatuhan menurut perintah.
Contohnya, sekumpulan kuda digambarkan patuh akan arahan penjaga kuda.

Keberanian menempuh cabaran dan rintangan.
Contohnya, penjaga kuda berani menempuh berbagai-bagai kepayahan dan rintangan sewaktu menjaga kuda-kuda itu.

Kebijaksanaan mengekploitasi golongan yang lemah.
Contohnya, penjaga kuda bijak mengawal kuda tunggangannya ketika dia menghalau kuda-kuda itu masuk ke kandang.

Pasrah dan reda akan ketentuan Ilahi.

BENTUK SAJAK

• Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat dan terdiri daripada empat rangkap.

Bilangan baris tidak sama, iaitu rangkap pertama ada lima baris, rangkap ke dua ada lima baris, rangkap ketiga ada sebelas baris dan rangkap keempat ada lapan baris.

Jumlah patah kata dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara tiga hingga enam patah kata sebaris.

Jumlah suku kata dalam setiap baris terdiri daripada lapan hingga tiga belas suku kata.

Rima akhir sajak ini bebas/tidak sama: abcdd, abcab, aabccadecc dan abaabacc

GAYA BAHASA DAN KEINDAHAN BUNYI

• Pemilihan kata yang indah dan ayat atau baris yang dibentuk adalah puitis. Contohnya:
- Rembat angkuhnya memacu takut - rangkap 1, baris 3
- Meredah onak di rimba perburuan - rangkap 3, baris 5

• Epifora. Contohnya:
Perulangan kata ditunggangi - rangkap 4, baris 7 dan baris 8

• Repetisi atau perulangan. Contohnya:                              
Ditunggangi dan ditunggangi - rangkap 4, baris 8

• Penggunaan metafora. Contohnya:   
- Rimba perburuan
- Paya penindasan
- Cemeti durjana

• Personifikasi. Contohnya:
- Rembat angkuhnya memacu takut - rangkap 1, baris 3
- Pacuannya diiringi seribu keberanian - rangkap 3, baris 4

 Hiperbola. Contohnya:
Dimamah rakus kala lapar - rangkap 2, baris3

 Sinkope. Contohnya:
Tak peduli nasib diri setelah kenyang - rangkap 2, baris 4

• Inversi. Contohnya:
Dan kuda-kuda itu ditunggangi - rangkap 4, baris 7
Sepatutnya: Kuda-kuda itu ditunggangi

NILAI

Nilai tanggungjawab. Contohnya, penjaga kuda bertanggungjawab menjaga kuda tunggangannya dengan mengurus makan dan minum secara baik.

Nilai keberanian. Contohnya, penjaga kuda berani menempuh berbagai-bagai kepayahan dan rintangan sewaktu menjaga kuda-kuda itu.

Nilai kebijaksanaan. Contohnya, penjaga kuda bijak mengawal kuda tunggangannya ketika dia menghalau kuda-kuda itu masuk ke kandang.

Nilai kegigihan. Contohnya, penjaga kuda gigih melaksanakan tugasnya menjaga kuda-kuda tunggangan walaupun terpaksa menggunakan kekerasan terhadap kuda-kuda itu.

Nilai kepatuhan. Contohnya, sekumpulan kuda digambarkan patuh akan arahan penjaga kuda.

PENGAJARAN

• Kita hendaklah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang telah diberikan oleh ketua. Contohnya, sekumpulan kuda digambarkan tidak mempeduli nasib mereka dijadikan kuda tunggangan untuk menjejaki kuda-kuda lain.

• Kita mestilah berani menghadapi berbagai-bagai rintangan dengan tidak mudah berputus asa. Contohnya, penjaga kuda berani menempuh berbagai-bagai kepayahan dan rintangan sewaktu menjaga kuda-kuda itu.

• Kita perlulah gigih berusaha dalam melaksanakan satu-satu tugas agar kejayaan dapat dikecapi akhirnya. Contohnya, penjaga kuda gigih melaksanakan tugasnya menjaga kuda-kuda tunggangan walaupun terpaksa menggunakan kekerasan terhadap kuda-kuda itu.

• Kita sewajarnya patuh akan arahan dan suruhan ketua demi keharmonian sesebuah organisasi. Contohnya, sekumpulan kuda digambarkan patuh akan arahan penjaga kuda.

• Kita hendaklah bijak dalam merancang dan menjalankan tugas dengan baik dan sempurna. Contohnya, penjaga kuda bijak mengawal kuda tunggangannya ketika dia menghalau kuda-kuda itu masuk ke kandang.

LATIHAN SANG GEMBALA KUDA

• Berikan maksud 'tanpa membaca keletihannya'?
Maksud tanpa membaca keletihannya ialah tidak mengira kepenatan kudanya.

• Pada pendapat anda, bagaimanakah penganiayaan terhadap kerahan tenaga haiwan dapat ditangani dalam kalangan pemilik haiwan?
Pada pendapat saya, penganiayaan terhadap kerahan tenaga haiwan dapat ditangani dalam kalangan pemilik haiwan dengan cara:
- Menasihati penternak yang menganiaya haiwan tersebut.
- Menyelamatkan haiwan yang teraniaya.
- Melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

• Huraikan dua pengajaran yang terkandung dalam sajak ini. 
Dua pengajaran yang terkandung dalam sajak ini ialah:
- Kita hendaklah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberikan oleh ketua. Contohnya, sekumpulan kuda digambarkan tidak mempeduli nasib mereka dijadikan kuda tunggangan untuk menjejaki kuda-kuda lain.
- Kita perlulah gigih berusaha dalam melaksanakan tugasan. Sebagai contohnya, sang gembala kuda yang dan berani menunggang kuda itu menempuh segala rintangan dan kepayahan.

KOMSAS TINGKATAN 4: DRAMA BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

p/s Hi semua! Fyi i have future my study to college so i can't really help untuk isu isu baru relate to spm, but for sure i am the first batch dalam pembaharuan pendidikan negara kita. Do email me untuk request note nathirah1999@gmail.com. Terima kasih semua!

Drama ini mengisahkan Aiman, seorang murid berusia 17 tahun yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Cerita bermula apabila Aiman menerima sepucuk surat tawaran daripada Jabatan Latihan Khidmat Negara yang dihantar oleh posmen. Surat tawaran tersebut memaklumkan pemilihan Aiman sebagai salah seorang pelatih PLKN. Keadaan ini menimbulkan konflik dalaman kepada Aiman kerana dia sememangnya tidak berminat untuk mengikuti siri PLKN itu disebabkan pengetahuan serta pemahamannya yang kurang tentang kebaikan seseorang remeja mengikuti program berkenaan. Selain itu, Aiman beranggapan bahawa PLKN mungkin akan menggugat zon keselesaannya kerana dia berasal daripada keluarga yang berada dan sudah biasa dalam kemewahan.


Konflik antara Aiman dengan Nek Sinah bermula apabila dia merasakan Nek Sinah seolah-olah mengatur kehidupannya apabila menjemputnya untuk makan tengah hari. Oleh itu, dia telah melayan orang gajinya itu dengan kasar dan kurang sopan. Nek Sinah kecewa dengan sikap Aiman yang tidak menghormatinya sebagai orang tua. Walau bagaimanapun, Nek Sinah hanya bersabar ketika berhadapan dengan kerenah Aiman itu.


Cerita diteruskan dengan peristiwa Aiman di sekolah. Kawan-kawannya memberitahu Aiman tentang namanya yang telah terpilih bagi mengikuti PLKN. Aiman tawar hati apabila mendengar berita itu. Sundarani, Nora, Syuhada, Ah tiau dan Aiman berbincang tentang PLKN. Masing-masing melahirkan rasa bangga dan teruja kerana terpilih sebagai pelatih baharu PLKN kecuali Aiman. Semasa sesi pembelajaran di kelas, Cikgu Dahari telah menerangkan PLKN kepada Aiman dan rakan-rakan sekelasnya dengan panjang lebar. Kebetulan, Cikgu Dahari juga merupakan pengajar sambilan PLKN yang memfokuskan modul PPSB, iaitu Program Penghayatan Sastera dan Budaya.


Selepas pulang dari sekolah, Aiman mengemukakan masalah pemilihan namanya sebagai salah seorang pelatih PLKN kepada bapanya bagi meraih simpati dan pertolongan. Puncak cerita dalam drama ini apabila hasrat Aiman meminta bantuan bapanya yang mempunyai pengaruh dan kedudukan untuk mengecualikan penyertaanya dalam PLKN tidak kesampaian apabila bapanya menolak kemahuannya. Sebaliknya, bapa Aiman bertegas agar Aiman mengikuti PLKN kerana program tersebut banyak mengandungi kebaikan yang tidak diketahui oleh Aiman. Sementara itu, Puan Masnah iaitu ibu Aiman menyebelahi anaknya. Dia kurang bersetuju Aiman mengikuti PLKN atas faktor keselamatan nyawa anaknya. Namun, bapanya tetap teguh dengan pendirian asalnya. Kegagalan ibunya memujuk bapanya menyebabkan Aiman masuk ke biliknya. Sementara itu, bapa Aiman bercadang merehatkan fikirannya di Kelab Golf.


Ketika Aiman melayari internet di biliknya, dia telah terbaca berita tentang kejayaan seniornya, Syufia mendapat anugerah pelatih terbaik wirawati di Kem Gerakhas, Desaru, Johor dan juga seniornya Ziman yang berjaya hidup berdikari selepas menjalani program PLKN. Kejayaan mereka itu telah menyuntik semangat baharu dalam dirinya. Akhirnya, Aiman berjanji akan mengikuti PLKN bagi membentuk dirinya supaya boleh berdikari seterusnya menyahut seruan berkhidmat untuk tananh air tercinta.


TEMA


• Tema drama ini ialah kesedaran generasi muda dalam memupuk semangat cinta akan Negara yang diperoleh melalui penglibatan mereka dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

• Terbitnya rasa bangga dan teruja dalam kalangan generasi muda untuk mengikuti PLKN ini sudah pasti dapat melahirkan generasi muda yang sentiasa bersiap sedia berkhidmat untuk Negara, mengukuhkan pembinaan sahsiah diri di samping memupuk semangat perpaduan kaum dan integrasi nasional.

PERSOALAN

Kesedian generasi muda mengikuti dasar kerajaan. 
• Nora, Syuhada, Ah Tiau dan Sundarani mewakili golongan generasi muda yang berasa bangga dan begitu teruja untuk mengikuti PLKN.

Tanggungjawab ibu bapa dalam menentukan keberkesanan dasar kerajaan. 
• Sebagai bapa, Khir Ghazali bertanggungjawab untuk menyokong setiap dasar kerajaan dengan mewajibkan anaknya,Aiman menyertai PLKN.

Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak. 
• Datuk Khir Ghazali amat menyayangi Aiman dan keluarganya. Beliau berpendapat Aiman perlu menghadiri PLKN untuk membentuk sahsiah positif dalam diri anaknya itu yang diharapkan menjadi insan yang berguna kepada nusa dan bangga.

Kesedaran tentang kepentingan menyertai program kerajaan. 
• Aiman sedar akan sikap negatif dan tanggapannya yang salah terhadap pelaksaan PLKN setelah membaca berita tentang PLKN di laman sesawang. Dia berazam untuk menyertai PLKN dan menyahut seruan berkhidmat untuk Negara tercinta.

PLKN membentuk sikap berdikari dan jati diri dalam diri generasi muda.
• Ziman telah berjaya  membina sikap berdikari dan jati diri dalam hidupnya setelah mengikuti dengan jayanya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

WATAK PERWATAKAN WATAK UTAMA
AIMAN

• Nama penuhnya ialah Aiman Faizullah bin Khir Ghazali.
• Merupakan anak bongsu daripada dua orang adik-beradik.
• Berumur 17 tahun.

Seorang yang bersifat agresif.
• Menentang keras pemilihan namanya sebagai pelatih baharu PLKN.

Seorang yang suka tidur.
• Aiman akan tidur apabila mempunyai masalah untuk menenangkan fikirannya.

Seorang yang mementingkan kemewahan hidup.
• Dia tidak mahu menyertai PLKN kerana tidak sanggup berpanas.

Seorang yang bersikap biadap dan kurang sopan. 
• Dia menggunakan kata-kata yang kurang sopan sewaktu bercakap dengan Nek Sinah.

Seorang yang sedar akan kesilapan dan ingin berubah.
• Aiman sedar akan kesilapannya tentang PLKN dan berazam untuk menyertai PLKN bagi memupuk sikap berdikari.

WATAK PERWATAKAN WATAK SAMPINGAN
KHIR GHAZALI

Bapa kepada Aiman dan Dapnia.
Suami kepada Masnah.
• Beliau berpangkat Datuk.

Seorang yang gigih bekerja.
• Khir Ghazali biasanya pulang ke rumah hanya pada waktu malam lantaran gigih mencari rezeki.

Seorang yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat.
• Masnah mencadangkan suaminya menggunakan kedudukan dan pengaruh untuk mendapatkan pengecualian untuk Aiman supaya tidak perlu menyertai PLKN.

Seorang yang tetap pendirian. 
• Khir Ghazali tegas dan tidak berganjak dengan keputusannya untuk mengekalkan Aiman sebagai pelatih PLKN yang baharu walaupun dipujuk oleh Aiman dan Masnah.

Seorang yang berpandangan jauh.
• Khir Ghazali menerangkan faedah yang akan diperolehi oleh Aiman apabila dia menyertai PLKN di samping boleh membentuk sikap berdikari dalam diri Aiman.

Seorang bapa yang penyayang.
• Khir Ghazali mahu Aiman menyertai PLKN supaya cuti sekolahnya selama tiga bulan itu akan terisi dengan aktiviti yang berfaedah.

Seorang yang bersifat merendah diri. 
• Datuk Khir Ghazali tidak menggunakan pengaruh dan kedudukannya bagi mengeluarkan nama anaknya daripada senarai pelatih baharu PLKN.

MASNAH

Ibu kepada Dapnia dan Aiman.
• Beliau bergelar Datin.

Seorang yang penyayang.
• Dia tidak bersetuju Aiman menyertai PLKN kerana bimbang akan keselamatan anaknya.

Seorang yang sibuk dengan berbagai-bagai urusan.
• Dia telah menggunakan khidmat orang gaji bagi mengurus rumahnya.

Seorang yang mudah mengakui kesilapan diri. 
• Masnah berasa bersalah dengan tindakannya memihak kepada Aiman dan cuba memujuk semula hati suaminya yang terluka.

CIKGU DAHARI

• Beliau bertugas sebagai guru sastera di sekolah Aiman.
• Beliau bertugas sebagai fasilitator sambilan di Kem PLKN yang terlibat dalam pengajaran modul PPSB, Program Penghayatan Sastera dan Budaya.

Seorang yang mudah mesra dan disenangi orang lain.
• Dia begitu mesra melayani setiap pertanyaan anak-anak muridnya.

Seorang yang berpengetahuan luas.
• Beliau menerangkang tentang pelaksanaan PLKN secara terperinci kepada anak-anak muridnya.

POSMEN

• Dia bertugas sebagai penghantar surat.

Seorang yang berintegrasi dalam melaksanakan tugasnya. 
• Dia amanah dalam tugasnya menghantar surat-surat kepada pelanggannya.

Seorang yang suka memberikan nasihat.
• Dia menasihati Aiman agar berfikir secara mendalam mengenai penolakannya sebagai pelatih PLKN.

NEK SINAH

Orang gaji kepada keluarga Khir Ghazali.

Seorang yang berhemah tinggi dan berperwatakan lemah lembut.
• Dia menggunakan bahasa yang sopan ketika bercakap dengan Aiman.

Seorang yang penyabar.
• Dia tetap bersabar berhadapan dengan sikap biadap Aiman yang tidak menghormatinya.

Seorang yang penyayang.
• Dia mengajak Aiman makan tengah hari dengan menggunakan kata yang sopan.

LATAR
LATAR TEMPAT

Rumah Khir Ghazali.
• Posmen telah datang menghantar sepucuk surat tawaran kepada Aiman sebagai pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Sekolah.
• Cikgu Dahari telah berbincang dengan anak-anak muridnya, iaitu Aiman, Nora, Ah Tiau, Sundarani dan Syuhada berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) disekolah.

Bilik Aiman. 
• Aiman melayari internet menggunakan komputer riba di biliknya .

Latar tempat lain termasuklah:
- Kem Gerakhas, Desaru, Johor.
- Kem De Bana, Jempol, Negeri Sembilan.
- Kem Paya Indah Wetland, Hulu Langat, Selangor.
- Kem Teluk Sari, Mersing, Johor.
- Kelab Golf, universiti dan kantin sekolah.

LATAR MASA

Cuti hujung minggu.
• Sewaktu Aiman bersantai di rumah dan melakukan segala perkara yang diinginkan pada cuti hujung minggu.

Waktu tengah hari.
• Posmen datang ke rumah Khir Ghazali untuk menyampaikan sepucuk surat kepada Aiman, iaitu tentang pemilihan Aiman sebagai salah seorang pelatih PLKN yang baharu pada waktu tengah hari.

LATAR MASYARAKAT

Masyarakat yang meninggalkan semangat patriotik/cinta akan negara.
• Kawan-kawan sekelas Aiman yang terdiri daripada Nora, Syuhada, Ah Tiau dan Sudarani sangat teruja dan berbangga apabila nama mereka terpilih sebagai pelatih Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN).

Masyarakat yang menyayangi ahli keluarga.
• Datuk Khir Ghazali amat menyayangi Aiman dan keluarganya. Beliau mewajibkan Aiman menjadi pelatih baharu PLKN untuk membentuk sahsiah anaknya itu supaya menjadi seorang insan yang mampu berdikari dan berguna kepada nusa dan bangsa.

Masyarakat yang berintegriti dan amanah dalam memikul tanggungjawab. 
• Posmen bermohon diri daripada Aiman menyambung kerjanya menghantar surat kepada para pelanggan yang lain.

Masyarakat yang berpandangan jauh.
• Datuk Khir Ghazali menerangkan faedah yang akan diperoleh oleh Aiman apabila dia menyertai PLKN.

Masyarakat yang mempunyai pengaruh dan kedudukan dalam kalangan masyarakat. 
• Datin Masnah mencadangkan suaminya menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk mendapatkan pengecualian Aiman daripada menyertai PLKN.

Masyarakat yang terlalu memanjakan anak.
• Datin Masnah tidak bersetuju tentang penyertaan Aiman sebagai pelatih PLKN kerana bimbang akan keselamatan nyawa anaknya.

Masyarakat yang berpendirian tegas.
• Datuk Khir Ghazali tetap dengan keputusannya meminta Aiman menyertai PLKN walaupun dipujuk oleh Aiman dan Masnah.

NILAI

Nilai kasih sayang. 
• Datuk Khir Ghazali amat menyayangi Aiman dan keluarganya. Beliau memutuskan agar Aiman menghadiri PLKN untuk membentuk peribadi anaknya itu menjadi seorang insan yang berguna kepada nusa dan bangsa.

Nilai baik hati.
• Encik Posmen telah menyerahkan surat tawaran PLKN kepada Aiman sambil menasihatinya agar menerima tawaran tersebut.

Nilai tanggungjawab.
• Cikgu Dahari melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan baik apabila turut menyentuh tentang pelaksanaan dan keberkesanan PLKN untuk membentuk generasi muda yang berjiwa patriotik.

Nilai cinta akan negara/patriotisme.
• Kawan-kawan sekelas Aiman yang terdiri daripada Nora, Syuhada, Ah Tiau dan Sundarani sangat teruja dan berbangga apabila nama mereka terpilih untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara.

Nilai kegigihan.
• Cikgu Dahari gigih membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada pelatih PLKN tentang Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB).

Nilai hemah tinggi.
• Nek Sinah bertutur dengan suara yang lemah lembut ketika mengajak Aiman makan tengah hari walaupun Aiman melayannya dengan bersikap kurang sopan.

Nilai berpandangan jauh.
• Datuk Khir Ghazali ingin Aiman menyertai PLKN untuk membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni disamping menanam semangat patriotik dalam jiwa anaknya.

Nilai berdikari.
• Syufia telah berjaya memupuk sikap berdikari apabila terpilih sebagai pelatih terbaik wirawati untuk Kem Gerakhas, Desaru, Johor dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Nilai kesedaran.
• Aiman sedar akan sikap negatifnya terhadap pelaksanaan PLKN setelah membaca berita PLKN di laman sesawang. Dia berazam untuk menyertai PLKN dan menyahut seruan berkhidmat untuk Negara tercinta.

Nilai kesabaran.
• Nek Sinah bersabar dengan sikap biadap Aiman yang tidak menghormatinya sebagai orang tua.

PENGAJARAN

Kita hendaklah memupuk semangat patriotik/cinta akan negara dalam kalangan generasi muda. 
• Cikgu Dahari memberikan sokongan kepada Nora, Sundarani, dan Ah Tiau yang bersemangat kerana terpilih untuk mengikuti PLKN.

Kita perlulah menjadi seorang insan yang berintegriti tinggi dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberi.
• Posmen menjalankan tugasnya menghantar surat-surat pelanggan dengan penuh integriti.

Kita mestilah rajin membaca dalam usaha membentuk sebuah masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan luas dalam satu-satu perkara.
• Cikgu Dahari rajin membaca dan mendalami maklumat berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Kita hendaklah bersabar menghadapi karenah manusia yang biadap.
• Nek Sinah bersabar dengan sikap biadap Aiman yang tidak menghormatinya sebagai orang tua.

Kita perlulah berpandangan jauh dalam usaha membina kehidupan yang lebih sempurna.
• Datuk Khir Ghazali menerangkan faedah yang diperoleh oleh Aiman apabila dia menyertai PLKN.

Kita mestilah berpendirian tegas dan teguh dalam menegakkan satu-satu perkara yang bermanfaat kepada nusa dan bangsa.
• Datur Khir Ghazali tetap dengan keputusannya meminta Aiman menyertai PLKN walaupun dipujuk oleh Aiman dan Datin Masnah.

Kita hendaklah gigih mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga.
• Datuk Khir Ghazali selalu pulang ke rumah pada waktu malam lantaran gigih mencari rezeki untuk menyara keluarganya.

Kita mestilah bersifat adil dan saksama dalam membuat satu-satu keputusan dengan tidak menggunakan pangkat dan pengaruh yang ada.
• Datuk Khir Ghazali tidak menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk mengecualikan anaknya daripada mengikuti PLKN.