CONTOH KARANGAN SPM USAHA-USAHA MENGURANGKAN KADAR KEMALANGAN JALAN RAYA DI MALAYSIA

p/s Hi semua! Fyi i have future my study to college so i can't really help untuk isu isu baru relate to spm, but for sure i am the first batch dalam pembaharuan pendidikan negara kita. Do email me untuk request note nathirah1999@gmail.com. Terima kasih semua!

Dalam meniti arus pemodenan, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering sahaja menjadi fokus perbincangan dan mauduk utama pada dada-dada akhbar tempatan di Malaysia. Fenomena ini kian berada pada zon kritikal dan secara tidak langsung menggusarkan fikiran masyarakat. Senario yang menggemparkan ini tidak wajar dibiar secara berterusan. Justeru, sebelum nasi sudah menjadi bubur, usaha-usaha pragmatik perlu diimplimentasikan oleh masyarakat bagi mengatasi masalah ini daripada terus menular.

Usaha primer dalam mengurangkan angka kemalangan jalan raya ialah dengan memperbaiki disiplin pemandu itu sendiri. Peratusan tinggi kemalangan dikatakan berpunca daripada sikap pemandu yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, majoriti pemandu masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu di mana secara tidak langsung menjadi punca mereka kehilangan fokus dan berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan mengikuti peraturan jalan raya perlu hadir dalam diri setiap masyarakat kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal kerajaan bagai hujan jatuh ke pasir sahaja. Setiap masyarakat wajar mendisiplinkan diri ketika berada di atas jalan raya bagi menjamin keselamatan bersama dengan mengikuti undang-undang di jalan raya.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Anak-anak diumpamakan seperti kain putih, ibu bapa yang perlu mencorakkannya. Oleh itu, dalam konteks ini, ibu bapa perlu menjadi ‘role model’ kepada anak-anak. Ibu bapa sewajarnya mematuhi undang-undang ketika berada di atas jalan raya agar dapat dicontohi oleh anak-anak kelak mereka dewasa. Penerapan nilai-nilai murni serta kesedaran mengenai kepentingan mematuhi keselamatan jalan raya ini dapat disemai dalam jiwa anak-anak melalui pelbagai kaedah. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah sentiasa bertolak ansur ketika berada di jalan raya yang sesak. Sekiranya anak-anak melihat ibu bapa mereka memotong barisan kereta dengan menggunakan lorong kecemasan, secara tidak langsung persepsi mereka akan berubah kepada negatif. Oleh hal yang demikian, sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memainkan peranan yanag sangat penting dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ini. Pendedahan awal kepada anak-anak amat vital kerana pada ketika inilah mereka mudah dibentuk mengikut acuan yang sebenar. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Usaha seterusnya dalam menangani isu yang kian membarah ini sudah tentulah melalui penganjuran kempen-kempen kesedaran dalam hal yang berkaitan keselamatan jalan raya. Modus operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menimbulkan nilai moral dan sivik serta menyuntik etika ketika berada di atas jalan raya dalam kalangan masyarakat. Prakarsa ini dapat dijalankan dalam semua peringkat meliputi sekolah, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan. Kempen ini tidak tertumpu kepada badan kerajaan sahaja, masyarakat setempat atau pihak swasta turut boleh berganding bahu menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan kempen-kempen tersebut melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar mahupun medium internet. Kempen-kempen yang dijalankan ini perlulah dibuat secara berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batuk di tangga. Secara tidak langsung, masyarakat akan menyedari bahawa pihak kerajaan mahupun penganjur kempen kesedaran ini bersungguh-sungguh dan bertegas dalam usaha mengurangkan isu kecelakaan jalan raya.

Usaha lain yang boleh diimplikasikan ialah masyarakat memainkan peranan melakukan aduan secara atas talian mahupun bertulis mengenai isu-isu keselamatan jalan raya kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya. Misalnya, mengenai struktur jalan raya. Jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu turut berisiko kepada pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam. Sebagai misalannya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan berlaku sekiranya kenderaan di belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya seperti peribahasa sediakan payung sebelum hujan. Masyarakat sewajarnya memberi kerjasama dengan melaporkan setiap isu yang berisiko mengundang kemalangan jalan raya untuk menjamin keselamatan bersama.

Intihannya, masyarakat perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya setiap usaha yang diambil mendatangkan kesan yang positif dan efektif secara majoriti kepada masyarakat. Sekiranya segala usaha telah diambil dan dijalankan dengan sewajarnya, tidak mustahil kita dapat melihat negara yang dicintai ini berkembang dengan pesat menuju ke arah status negara maju seperti peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu bekerjasama menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini secara total. Ingatlah, “pandu cermat, jiwa selamat!”.